Rabu, Januari 28, 2009

Menangani Krisis Ekonomi - MTUC

Wawancara Bersama Presiden MTUC

Dalam menghadapi krisis ekonomi dunia, pemimpin Malaysia dilihat tidak mempunyai keupayaan menguruskan ekonomi negara serta bersikap dolak dalik, mengatakan Malaysia tidak terkesan dengan Masalah tersebut.

Sedangkan dalam masa sama, pekerja di negara ini terabai. Apa pandangan saudara?

Syed Shahir: Kalau hendak dikatakan negara kita tidak terkesan dengan apa yang dialami dunia, itu tidak betul kerana kita mempunyai hubungan perdagangan dengan Amerika walaupun sebagai 'trading partner'.

Kita ada hubungan dalam 12 peratus, tetapi jangan lupa secara tidak langsung melalui China dan India, kita juga eksport ke kedua - dua negara tersebut, yang kemudiannya mereka mengeksport ke US.

Jadi, apa yang terkesan di sana, sudah pasti akan dirasai juga. Lebih - lebih lagi dalam keadaan sekarang di mana sudah berlaku pembuangan dan pemberhentian pekerja, walaupun bukan dalam jumlah yang tinggi.

Tapi bukan pemberhentian pekerja sahaja, isu - isu lain macam kerja lebih masa, digalakkan bercuti dan disekat elaun juga sudah kedengaran…

Syed Shahir: Kita juga tahu bahawa kini sudah mula dikurangkan kerja lebih masa, elaun sudah disekat dan pekerja diminta mengambil cuti, yang semuanya ini menekan pekerja.

Ini tidak betul sama sekali. MTUC bimbang, majikan yang tidak terkesan pun akan bertindak memberhentikan pekerja menggunakan alasan berkenaan.

Isunya, pemimpin kerajaan menganggap tiada masalah pemberhentian kerja dan segala macam hambatan ini?

Syed Shahir: Mengenai kepimpinan negara ini satu hal. Inilah disebut sindrom menafikan. Sepatutnya dalam keadaan sekarang, lebih rancak perbincangan dengan majikan, kesatuan sekerja, MTUC untuk mencari jalan bagaimana hendak mengatasi masalah ini.

Kita bukan mahu mengeruhkan keadaan. Negara lain seperti Singapura sudah berbuat demikian. Saya harap kerajaan kita tidak ambil ringan perkara ini kerana kesannya akan lebih teruk.

Kita tidak doakan menjadi teruk, tetapi kita perlu berjaga - jaga.

Pemimpin hari ini hanya mahu menunjukkan kepada rakyat kononnya mereka bijak memimpin dan mengurus pentadbiran negara.

Wujud sikap bangga diri, ego yang akhirnya akan beri kesan kepada orang ramai. Tidak guna kata kerajaan prihatin sedangkan tidak membantu rakyat yang menghadapi masalah ini.

Tadi Saudara ada menyatakan bahawa kebergantungan negara kepada Amerika walaupun sedikit, yang menyebabkan kita turut terpalit. Mungkinkah Malaysia mempunyai pelan ekonomi sendiri yang lebih terancang bagi mengelakkan perkara seperti ini berulang di masa hadapan?

Syed Shahir: Memang sepatutnya apabila kita dalam keadaan mewah, kita perlu berhemah. Jangan berbelanja sesuka hati. Tidak perlu ambil kaedah ekonomi yang besar - besar.

Ambil yang 'simple' sahaja. Bila ada keuntungan kita simpan supaya beringat di masa akan datang.

Kita sebenarnya kaya, menabung dengan baik, tidak membazir dengan projek mewah yang tidak memberi manfaat. Apabila zaman meleset, tabungan tersebut boleh membantu.

Kita perlu ingat, tidak selalunya hari itu panas. Adakalanya akan hujan juga.

Apabila sudah berlaku begini, apakah langkah awal yang boleh dilakukan kerajaan bagi menangani keadaan ini, khususnya dalam tempoh terdekat, membantu dengan kadar segera mereka yang diberhentikan?

Syed Shahir: Dalam hal pekerja ini, sama ada soal diberhentikan mahupun hak pekerja, MTUC sudah lama mengusulkan pelbagai cadangan untuk diberi perhatian oleh kerajaan.

Namun, tidak diberi perhatian. Dalam hal ini (pemberhentian pekerja), MTUC sudah lama menyarankan kerajaan agar menubuhkan dana atau tabung pemberhentian pekerja, di mana ia dapat membantu pekerja dengan kadar segera.

Rasanya sudah 8 atau 9 isu Tabung Pemberhentian Pekerja ini diperjuangkan MTUC? Apa respons kerajaan?

Syed Shahir: Sampai sekarang tiada apa - apa reaksi. Begitu juga dengan pampasan sedia ada untuk pekerja yang diberhentikan. Bagi MTUC pampasan sedia ada tidak mencukupi dan minta kerajaan naikkan dengan kadar yang lebih sesuai. Itu pun tidak dihiraukan.

Jika Valucap boleh disuntik dengan dana KWSP, mengapa tidak rakyat Malaysia?

Inilah masanya membuktikan kerajaan benar - benar prihatin.

Selangor bertindak menubuhkan jawatankuasa khas bagi menangani masalah ini, khususnya sebagai usaha mencari ruang pekerjaan bagi pekerja yang diberhentikan di negeri itu. Wajarkah negeri - negeri lain mengikut langkah tersebut?

Syed Shahir: Dasar itu sebenarnya cadangan MTUC. Sudah lama MTUC mencadangkan perkara tersebut. Bukan sahaja di Selangor.

Baguslah apa yang sudah dilakukan kerajaan negeri itu. Dan saya berterima kasih kepada mereka.

Harapnya, selepas ini kita boleh berhubungan baik dengan Kedah, Kelantan, Perak dan Pulau Pinang. Dan apa yang dibuat kerajaan negeri Selangor ini sebagai isyarat bahawa kerajaan negeri boleh berbuat sesuatu demi kebaikan rakyatnya dan berharap kerajaan pusat turut memikirkan langkah proaktif bagi menyelesaikan isu ini.

Terdapat saranan supaya pengambilan tenaga kerja asing dihentikan bagi mengimbangi masalah ini. Apa pandangan MTUC berkenaan perkara ini?

Syed Shahir: Saya tidak menentang sama ada pekerja itu dari luar atau dalam. Tetapi dalam suasana hari ini, kita tidak mahu polisi yang kadang kalanya dikecualikan selepas itu.

Lebih - lebih lagi apabila ada pihak yang merayu, mereka akan terima semula.

Kita tidak mahu begitu. Bagi saya, dasar atau polisi yang dibuat itu perlu tetap dan tegas dan tidak terpilih serta berkecuali kepada mana - mana pihak. Perlu tegas.

Namun dalam soal hak mereka sebagai pekerja, MTUC tidak boleh bersikap berkecuali. Siapa sahaja mereka, sama ada pekerja asing mahupun tempatan, jika mereka teraniaya, ia perlu dibantu.

Mereka juga manusia, makhluk Allah yang perlu pembelaan apabila dianiaya oleh mana - mana pihak.

Berlaku kes majikan memecat pekerja tanpa notis, seperti yang berlaku di Negeri Sembilan. Adakah wujud undang - undang bagi majikan yang bertindak sedemikian?

Syed Shahir: Kalau itu, tidak boleh. Tapi mereka yang dipecat itu boleh memfailkan tentang ketidakadilan di pihak tertentu seperti Jabatan Perusahaan, Jabatan Kerja Manusia.

Mereka juga boleh memfailkan saman bagi mendapatkan hak mereka sebagai pekerja.

Sebab itu sebelum ini saya kata, kita perlu berhati - hati menangani isu ini seperti kenyataan - kenyataan media atau sebagainya, bagi mengelakkan segelintir majikan yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan alasan krisis ekonomi untuk menekan pekerja. Itu yang kita tidak mahu.

[Wawancara ini dipetik dari Fikrah Edisi Isnin]

Tiada ulasan:

Catat Ulasan