Jumaat, Januari 23, 2009

Pakej Rangsangan Ekonomi RM 5 Bilion

PUTRAJAYA 22 Jan. - Sebanyak RM5 bilion daripada RM7 bilion peruntukan dalam pakej rangsangan ekonomi yang dilancarkan November lalu telah disalurkan kepada kementerian dan agensi terbabit, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan menambah, baki RM2 bilion lagi akan dikeluarkan minggu depan.

"Menjelang minggu depan, sebanyak RM2 bilion lagi akan dikeluarkan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah peringkat kebangsaan di sini hari ini.

Selasa lalu, Najib mengumumkan akan melancarkan pakej rangsangan ekonomi kedua tidak lama lagi bagi memastikan negara tidak terjerumus ke dalam kancah kemelesetan serius akibat ekonomi global yang semakin merudum.

Ditanya sama ada kerajaan akan melancarkan pakej rangsangan ekonomi kedua dalam masa terdekat berikutan pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.5 peratus oleh Bank Negara Malaysia, Najib menegaskan, ia akan ditentukan mengikut kesesuaian masa atau keadaan.

Buat masa ini, menurutnya, kerajaan mahu memastikan kesemua peruntukan RM7 bilion itu digunakan secepat mungkin.

Justeru, tambah beliau, kesemua kementerian beroperasi diarah mengambil tindakan segera.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan